Monday, March 7, 2011

Tepak Sireh Pun Mistik? Paradigma Harus Diubah


Hari minggu yang lepas, selepas selesai membersihkan rumah dan halaman, ada tetamu yang datang sekeluarga untuk melihat-lihat kucing saya. Dengan penuh hormat, saya menjemput keluarga tersebut masuk ke rumah. Keris-keris saya yang kebiasaannya berada di dalam almari di ruang tamu, disimpan di bilik belakang ketika proses mengemas. Hanya tepak sireh yang berada di dalam almari lantas mata tetamu saya tertumpu kepada tepak sireh tersebut. Seakan penuh minat tapi penuh persoalan. Seperti yuang saya jangka, keluar soalan pertama dari beliau, 'ini barang lama ke?'. Soalan kedua, 'tak kena kacau ke?' dan soalan terakhir, 'kenapa suka simpan barang-barang macam ni?'.
Sebenarnya sudah agak penat bagi saya untuk menjawab persoalan sebegini. Lalu jawab saya... Saya tak pasti barang ini lama ke tak. Tapi pada rupanya, ianya lama lagipun tepak sireh ini adalah hadiah perkahwinan dari abang angkat saya 10 tahun yang lepas. 10 tahun tu pun kira lama la jugak. Jawab saya lagi... Kenapa tepak sireh ini nak kacau saya? Kalau ada makhluk lain yang diam di situ, biarkanlah. Makhluk-makhluk ghaib dari golongan jin itu ada di mana-mana malah dikatakan nisbahnya 1:9 atau 1:10 berbanding bangsa manusia. Kalau diizinkan Allah untuk dizahirkan golongan jin ini, nescaya kita tak boleh nak berjalan kerana sebenarnya kita sentiasa berjalan dicelah-celah golongan ini. Biarlah Jin dengan urusannya dan kita Manusia dengan urusan kita. Bagi saya, jika diambil contoh senjata disimpan untuk menjaga rumah, adakah ianya salah? Bagaimana kalau kita mengupah security guard untuk menjaga rumah ataupun memasang alarm? Aplikasinya tetap sama dan jika dengan izin Allah, rumah kita akan tetap dimasuki pencuri. Ini diibaratkan sebagai satu ikhtiar. Wallahualam.
Menjawab soalan terakhir, saya suka menyimpan tepak sireh, senjata-senjata lama adalah semata-mata kerana ianya adalah warisan bangsa. Kalau bangsa-bangsa asing pun, menghargai warisan bangsa kita, kenapa tidak anak bangsanya sendiri. Paradigma kita harus diubah. Kita leka dengan kisah-kisah tahyul tentang warisan kita, dibuai oleh kisah-kisah mistik dan juga dihidangkan dengan cerita-cerita seram di Astro. Sampai bila kita harus mengongkong minda kita. Adakah kita mahu anak-anak kita melupakan warisan bangsa, warisan yang pernah berjihad untuk agama dan bangsa. Mahukah kita anak-anak kita akan cabut lari bila terjumpa atau melihat keris, pedang, sundang dan sebagainya?
Ubahlah paradigma kamu wahai bangsaku. Bangsa kita jangan dibodohkan lagi. Semangat kegemilangan bangsa mengalir di dalam warisan kita. Ambillah semangat itu, kembalikan keagungannya sekali lagi.

No comments:

Post a Comment