Sunday, March 27, 2011

Keris dan Pengertiannya Di Dalam Masyarakat Melayu


Keris pada suatu ketika dulu disanjung sebagai senjata keramat. Keramat kerana dikatakan senjata anugerah dari langit. Ketika itu keris-keris ditempa menggunakan besi tahi bintang atau pun meteor dan ditempa mengikut kepercayaan tentang hari-hari bertuah bagi masyarakat melayu, sehinggalah kedatangan Islam, ianya ditempa bermula dengan 1 Muharram.
Keramatnya lagi kerana kebiasaan Pandai-Pandai Besi adalah terdiri daripada orang-orang alim yang tinggi ilmu kebatinannya. Diselangi dengan zikir dan doa ketika menempa, menjadikan keris-keris umpama dilimpahi keberkatan dan dihuni oleh khadam-khadam yang ingin menunpang amalan kebaikan si penempa.
Pemakaian keris pula sering dikaitkan dengan golongan Raja, Bangsawan, Pembesar serta Pendekar. Ianya begitu dihormati dan bersifat peribadi sehinggakan keris tidak boleh dilangkah mahupun dipegang oleh orang lain. Jenis besi dan pamor pada keris, melambangkan kepelbagaian cara menggunakannya seperti keris berpamor emas dikatakan dapat membunuh musuh dengan hanya menikam kesan tapak kaki pada tanah. Keris berganja pendua dikaitkan dengan kekebalan dan sebagainya.
Masyarakat Melayu kontemporari, sudah agak melupakan kisah keramatnya keris. Sudah agak lupa senjata dari langit yang pernah berjihad untuk kedaulatan bangsa dan agama. Sudah tidak menyerapi semangat bila memegang sebilah keris. Adakah benar kerana Melayu mudah lupa ataupun senjata warisan ini sudah hilang keramatnya.

No comments:

Post a Comment