Sunday, February 27, 2011

Keris Antik Unik Yang Menarik Minat Saya

Kunjungan saya ke rumah Abang Angkat, seperti biasa akan dihidangkan dengan koleksi-koleksi beliau yang tak pernah habis biar pun sesudah berapa banyak kali saya berkunjung sehinggakan saya sendiri pun tidak dapat mengingatinya. Kali ini, ada satu koleksi yang amat menarik minat saya. Sebilah keris berdapor seakan anak alang tetapi panjangnya hanya sejengkal. Bilah berlok 49 ini, ditempelkan dengan emas di hujung pesi/puting, di pangkal bilah dan juga di hujung mata bilah. Di katakan, keris ini adalah salah satu dari keris untuk menghukum, dan tujuan tempelan emas adalah untuk menikam pesalah-pesalah yang kebal dan tidak dimakan senjata. Wallahualam.



Sekilas Pandangan Kembara dan Kecek-Kecek Keris di Kelantan

Kepulangan saya bersama keluarga ke kampung halaman pada hari Khamis sudah membawa dua tujuan :

1. Menghantar bonda tersayang
2. Memberi sokongan ke atas program Kembara dan Kecek-Kecek Keris

Ketibaan saya keluarga di lapangan terbang Sultan Ismail disambut oleh abang saya dan di bawa ke rumah bonda di Batu 2, Jalan Kuala Krai. Sejurus tiba, saya bergegas ke Pasar Malam Padang Bas untuk melepaskan rindu kepada nasi kukus dan percik perut ayam :)
Keesokan pada pagi Jumaat, dengan bertujuan untuk melayan tetamu yang datang ke negeri saya Tanah Serendah Sekebun Bunga, yang terdiri dari peminat dan kolektor keris dari KL, Selangor dan Singapura, kesemuanya seramai 7 orang. Tetamu-tetamu yang selama ini banyak berbicara di ruang siber, kita dapat berjumpa mesra dan berkenalan dengan lebih rapat.
Agenda pertama di pagi Jumaat dihabiskan dengan meluangkan masa di rumah Abang Angkat saya di Kampung Sireh. Kami semua dijamu dengan pelbagai jenis keris yang menjadi koleksi Abang Angkat termasuk yang hendak dilepaskan oleh beliau. Kami juga dipertunjukkan dengan koleksi kayu-kayu ukir, tempayan dan juga saling bertukar pandangan dan ilmu tentang dunia perkerisan.
Sesudah itu, sebelum bersembahyang Jumaat di Masjid Kampung Sireh, kami menjamu selera di sebuah restoren nasi kukus, masing-masing melantak habis-habisan disebabkan kelaparan tidak bersarapan pagi :)
Selepas sembahyang, dengan kehadiran Yie Keris, kami semua berkunjung ke rumah Cikgu Nasir di Tawang, disebabkan saya mempunyai sedikit urusan peribadi, saya meninggalkan sekejap tetamu-tetamu dan Cikgu Nasir, dan berjanji akan datang kembali untuk membawa mereka kembali ke hotel. Tepat pada waktu Maghrib, saya tiba semula di rumah Cikgu Nasir, kami menunaikan solah Maghrib berjemaah diimami oleh Cikgu. Terasa kemanisan dapat bersama-sama sebagai satu jemaah :)
Kemudian, kami dibawa oleh Cikgu Nasir menikmati makan malam buffet steamboat, sayang sekali, saya tidak dapat bersama-sama menikmati juadah makan malam yang merupakan favourite saya kerana terpaksa meninggalkan mereka semua di restoren disebabkan ada sedikit urusan. Dengan jasa baik Cikgu Nasir, tetamu-tetamu semua dihantar pulang ke hotel.
Tepat jam 10 malam, saya bergegas ke hotel kerana sudah berjanji untuk membawa tetamu-tetamu semua ke rumah Cikgu Mohd Nor (penganjur kecek-kecek keris), kerana dengan sebuah kereta tidak mencukupi untuk membawa semua tetamu, Tuan Haji Ahmad B telah berbesar hati untuk membawa sebahagian tetamu ke rumah Cikgu Mohd Nor. Setibanya di rumah Cikgu, kami dihidangkan dengan pelbagai jenis koleksi peribadi Cikgu yang kesemuanya bagi saya, berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Kadang-kadang terdengar gelak hilai hasil dari coloteh Cikgu dan juga sahabat-sahabat. Bersama-sama kami juga ada tetamu-tetamu dari Penang, Perlis dan wakil dari Museum Shah Alam. Hampir jam 3 pagi, saya menghantar tetamu pulang ke hotel. Ternyata, walaupun terasa amat penat, saya tersenyum kepuasan kerana dapat berkhidmat kepada tetamu-tetamu.
Keesokan harinya, lebih kurang jam 10 pagi, saya ke stesen keretapi Wakaf Bharu untuk menjemput Tuan Mohd Ramli Raman atau lebih dikenali sebagai Prof Meli yang baru tiba dari KL. Saya kemudian membawa beliau menikmati sarapan pagi nasi gulai serati kerana saya memang tahu kegilaan beliau terhadap serati yang muka hodoh itu. Memang benar, beliau melantak habis-habisan, kalau dikira, mungkin setengah ekor serati habis dimakannya :) Kemudian, saya menghantar beliau ke Museum Negeri Kelantan, oleh kerana saya membawa anak-anak bersama, tidak dapatlah saya bersama-sama beliau di Museum.
Jam 12 tghari, saya sekali lagi bergegas ke Museum untuk membuat bayaran Kembara Keris ke Tanah Bersejarah Patani walaupun saya dengan dukacita dan kecewa, tidak dapat bersama dengan rombongan di atas sebab-sebab peribadi. Di kala sahabat-sahabat berseronok mengembara, saya menghabiskan masa di Kota Bharu dengan bertemu dengan rakan-rakan dan juga bertandang ke rumah Abang Angkat untuk mencungkil serba sedikit ilmu perkerisan. Dan seperti biasa, akan ada bilah-bilah keris yang saya ambil untuk dijadikan koleksi yang akan saya pertontonkan dilain posting.
Pagi ini, saya masih di Kota Bharu dan akan berangkat pulang ke Kota Warisan pada penerbangan jam 3 petang bersama keluarga tercinta :)

Wednesday, February 23, 2011

Keris dan Semangatnya

Malam tadi sempat berborak dengan jiran yang tinggal selang 4 buah rumah dari rumah ambo. Seperti biasa bila ada orang datang, selain air dan biskut, dihidangkan jugak koleksi-koleksi senjata antik ambo yang tak seberapa tu. Rupa-rupanya jiran saya tu juga meminati senjata-senjata dan pernah beberapa kali memegang keris dan kebiasaanya adalah keris-keris baru.
Melihat gelagatnya yang khusyuk membelek keris sebilah demi sebilah, keluar masuk sarung berkali-kali, lalu ambo bertanya, kenapa asyik keluar masuk sarung aje keris-keris tu? Lalu jawab jiran saya, perasaannya berlainan sekali bila memegang keris antik berbanding dengan keris baru. Seakan tidak puas menatapnya, seakan datang satu semangat yang membuatkan mata tidak berkelip memandang keris. Ada aura yang meresap :)
Lantas jawab ambo kepadanya, itulah keris-keris melayu. Ditempa dengan penuh tatatertib dan adat dengan disulami zikir-zikir dan doa-doa. Keris yang satu masa dulu diabdikan untuk mempertahankan agama dan bangsa. Itulah semangatnya dan itulah auranya.
Selagi kita menjauhkan diri dari pusaka bangsa ini, maka kita tak akan mengerti betapa bertautnya Melayu dan Keris. Serulah anak-anak muda, anak-anak kita untuk mengenal keris, sejarahnya dan yang tersirat disebalik keris. Di sebilah keris, adanya semangat juang nenek moyang kita, dan disebilah keris, pernah Melayu diagungkan di zaman kegemilangannya. Kembalikan semangat itu, hidupkan warisan pusaka bangsa dan realisasikan sekali lagi, saat keagungan bangsa kita.

Monday, February 21, 2011

Pintu Kayu Antik Terbaru

Pintu Kayu Antik berukir ni baru saja diperolehi dari sebuah rumah milik kerabat Di Raja. Ianya diperbuat dari kayu cengal dan ukirannya kelihatan lebih halus dan lebih banyak bunganya berbanding dengan yang diperolehi sebelum ini. Amat bersesuaian untuk dijadikan hiasan pintu gerbang dan diletakkan di taman rumah sebagai satu lanskap yang bercirikan kemelayuan.




Pintu Rumah Antik Berukir

Pintu Antik boleh dikatakan tergolong dalam 'rare item' disebabkan pada masa ini ianya agak susah dicari dan kalau ada pun, amat jarang yang mahu dijual oleh pemiliknya. Rumah-rumah yang ada sekarang ini kebiasaannya kurang/tiada motif ukiran kayu. Mungkin disebabkan harga kayu yang agak tinggi dan juga ketiadaan tukang-tukang yang pandai dalam seni ukir. Pintu Antik ini diambil oleh Abang Angkat saya dari sebuah rumah lama kepunyaan kerabat D'Raja. Keseluruhan rumah tersebut termasuklah dinding, tingkap, lantai dibeli oleh peminat-peminat seni ukir dan kayu lama. Pintu Antik ini diperbuat dari kayu cengal dan ianya amatlah keras sekalipun telah berusia. Bila diketuk, tangan akan terasa agak sakit. Untuk menjadikan mengumpul seni ukir dan kayu-kayu antik sebagai hobi memerlukan belanja yang agak besar. Diceritakan Pintu Antik ini harganya hampir mencecah RM30 ribu dan hanya orang-orang yang berduit, organisasi-organisasi tertentu ataupun kerajaan yang mampu memilikinya. Wallahualam.


Saturday, February 19, 2011

Pelik dan Penuh Persoalan

Malam kelmarin bila aku membuka pagar untuk mengunci kereta, agak terkejut bila melihat objek seakan-akan duit syiling tersusun rapi di hadapan pagar rumahku. Bila aku melihat dengan lebih dekat, ternyata ianya adalah kepingan syiling-syiling. Jumlahnya lebih dari 30 keping kesemuanya. Yang menghairankan aku, ianya bukanlah duit syiling kita tetapi adalah kepingan syiling2 dari negara-negara lain. Ada juga kepingan syiling-syiling peringatan ';rancangan malaysia', 'sukan komanwel' dan 'sukan asia'. Siapakah yang meletakkannya di depan rumahku, tak mungkin ada sesiapa yang terjatuh disebabkan ianya seperti disusun. Apakah tandanya? Petanda baik ataupun buruk? Apapun aku mengambil keputusan untuk menyimpan seadanya. Wallahualam.

Wednesday, February 16, 2011

Keris dan Melayu, Terasa Semakin Jauh

Bila berkumpul bersama rakan-rakan lama di rumah saya, diceritakan tentang profesion baru berdagang keris-keris antik diblog, bersembang tentang hobi menyimpan senjata-sejata antik yang selama ini hanya dipendam dan tak pernah dikongsi. Ternyata perpektif yang agak negatif sebagai 'feedback'. Masih terdengar cerita-cerita tahyul mengenai keris, kadang-kadang terdengar ketawa kecil seolah-olah memperlekeh. Diejek apabila seorang profesional IT rupa-rupanya mistik.
Tatkala bila dikeluarkan koleksi-koleksi keris, ternyata masing-masing terpegun dan terlopong. Keindahan warisan bangsa ternyata masih ada auranya. Tiada lagi kata-kata negatif, tiada lagi ketawa kecil memperlekeh. Semuanya takjub, khusyuk dan sesekali terdengar 'huisshh' memperakui kehebatannya.
Itulah keris melayu, bila dilihat terasa takjub, bila dipegang terasa semangatnya, bila diusap terasa kecintaannya.
Anak-anak muda hanya mengenal keris melalui gambar-gambar. Tidak berpeluang memegang dan merasa semangatnya. Simpanlah keris walau sebilah. Warisan yang tidak dapat ditukarganti. Jangan nanti ianya hilang tanpa kita sedari. Ajarkanlah anak-anak muda kita mengenal, memegang dan membelai keris. Semangatnya sentiasa ada, sebab kita adalah Melayu, sebab Melayu dan Keris, seakan sebati, meyimpan seribu sejarah dan rahsia.

Tuesday, February 15, 2011

Keris Antik : Kosa dan Sa Gajah Antik For Sale

Kosa dan Sa adalah alat yang digunakan oleh penunggang gajah untuk mengait telinga dan mencucuk kaki gajah supaya gajah yang ditunggang terus berjalan mengikut arahan penunggangnya. Ia dibuat dengan menggunakan besi terpilih dan ditempa oleh pandai besi.
Kosa dan Sa ini dikategorikan sebagai 'rare item' kerana agak susah untuk dijumpai. Memiliki gajah pada ketika dahulu seumpama memiliki kendaraan mewah pada masa ini.
Berminat sila SMS/Call 0162020428 atau email zulldg@yahoo.com.




Friday, February 11, 2011

Keris Antik My Collection - Pengorek/Pengikis Buah Pinang Antik

Alat ini digunakan untuk mengorek atau pun mengikis buah pinang. Dikatakan ianya adalah peninggalan dari Istana Patani. Diperbuat daripada besi keris dan oleh pandai besi. Suatu ketika dulu, pembantu-pembantu Istana akan menggunakannya untuk mengikis buah pinang buat santapan Raja. Diceritakan yang Raja-Raja Patani dahulu gemar memakan pinang. Wallahualam.


Tuesday, February 8, 2011

Keris Antik Pandai Saras Lurus For Sale - SOLD

Keris Antik Pandai Saras Lurus
Panjang Bilah 15 inci
Keris Jenis 'Rare Item', Seumpama Keris Di Dalam Keris
Berminat SMS/Call 0162020428 atau email zulldg@yahoo.com







Keris Antik My Collection 5

Keris Antik Pandai Saras Lok 9
Pamor Kayu Buruk
Ketandaan Pusat Belanak Tembus




Thursday, February 3, 2011

Keris Sebagai Warisan Bangsa. Sejauh Mana Pengertiannya?

Kadangkala aku terfikir, sejauh mana pengertian dan pemahaman anak-anak bangsaku tentang keris sebagai warisan bangsa yang sepatutnya dipelihara dan terus disanjung. Bila aku bertanya kepada anak aku, ternyata minatnya lebih kepada pistol dan senapang, keris tidak moden katanya. Bila kawan-kawan aku mengetahui yang aku menyimpan keris-keris lama lalu ditanya, tak takutkah? tak berhantukah? susah tak menjaga keris lama? apakah pantang larangnya?
Ternyata ramai anak-anak muda sekarang telah terpengaruh dengan pemahaman sakralmistik tentang keris lalu ini telah menjauhkan mereka daripada mengenal erti keris apatah lagi menyimpannya sebagai satu warisan.
Aku telah cuba mendidik anak-anak aku dan juga kawan-kawan aku tentang keris, yang keris tidak berhantu, yang keris tidak susah dijaga, yang keris tiada pantang larang, yang keris adalah merupakan satu ikon bangsa, yang keris adalah satu kehalusan seni tetapi tidak banyak yang aku boleh ubah, lalu aku sentiasa terfikir, adakah keris akan terkubur satu hari nanti.
Anak-anak bangsaku, bangkitlah, pertahankan warisan bangsa kita, kita adalah melayu dan keris adalah semangatnya. Bangun dan laungkanlah 'takkan melayu hilang di dunia'.

Wednesday, February 2, 2011

Zaman Kanak-Kanak Yang Sudah Berlalu

Sesekali bila melihat anak-anak dan kawan-kawannya bermain riang di depan halaman rumah, teringat kembali zaman kanak-kanak. Ketika itu, hidup langsung tiada masalah, agenda harian adalah bermain, bermain dan bermain. Tiada masalah kerja, masalah kewangan, masalah keluarga dan masalah-masalah lain. Hidup secara free flow. Indahnya zaman itu yang pastinya tidak mungkin kan berulang mahupun dicuba dengan seribu daya :)