Kepulangan saya bersama keluarga ke kampung halaman pada hari Khamis sudah membawa dua tujuan :
1. Menghantar bonda tersayang
2. Memberi sokongan ke atas program Kembara dan Kecek-Kecek Keris
Ketibaan saya keluarga di lapangan terbang Sultan Ismail disambut oleh abang saya dan di bawa ke rumah bonda di Batu 2, Jalan Kuala Krai. Sejurus tiba, saya bergegas ke Pasar Malam Padang Bas untuk melepaskan rindu kepada nasi kukus dan percik perut ayam :)
Keesokan pada pagi Jumaat, dengan bertujuan untuk melayan tetamu yang datang ke negeri saya Tanah Serendah Sekebun Bunga, yang terdiri dari peminat dan kolektor keris dari KL, Selangor dan Singapura, kesemuanya seramai 7 orang. Tetamu-tetamu yang selama ini banyak berbicara di ruang siber, kita dapat berjumpa mesra dan berkenalan dengan lebih rapat.
Agenda pertama di pagi Jumaat dihabiskan dengan meluangkan masa di rumah Abang Angkat saya di Kampung Sireh. Kami semua dijamu dengan pelbagai jenis keris yang menjadi koleksi Abang Angkat termasuk yang hendak dilepaskan oleh beliau. Kami juga dipertunjukkan dengan koleksi kayu-kayu ukir, tempayan dan juga saling bertukar pandangan dan ilmu tentang dunia perkerisan.
Sesudah itu, sebelum bersembahyang Jumaat di Masjid Kampung Sireh, kami menjamu selera di sebuah restoren nasi kukus, masing-masing melantak habis-habisan disebabkan kelaparan tidak bersarapan pagi :)
Selepas sembahyang, dengan kehadiran Yie Keris, kami semua berkunjung ke rumah Cikgu Nasir di Tawang, disebabkan saya mempunyai sedikit urusan peribadi, saya meninggalkan sekejap tetamu-tetamu dan Cikgu Nasir, dan berjanji akan datang kembali untuk membawa mereka kembali ke hotel. Tepat pada waktu Maghrib, saya tiba semula di rumah Cikgu Nasir, kami menunaikan solah Maghrib berjemaah diimami oleh Cikgu. Terasa kemanisan dapat bersama-sama sebagai satu jemaah :)
Kemudian, kami dibawa oleh Cikgu Nasir menikmati makan malam buffet steamboat, sayang sekali, saya tidak dapat bersama-sama menikmati juadah makan malam yang merupakan favourite saya kerana terpaksa meninggalkan mereka semua di restoren disebabkan ada sedikit urusan. Dengan jasa baik Cikgu Nasir, tetamu-tetamu semua dihantar pulang ke hotel.
Tepat jam 10 malam, saya bergegas ke hotel kerana sudah berjanji untuk membawa tetamu-tetamu semua ke rumah Cikgu Mohd Nor (penganjur kecek-kecek keris), kerana dengan sebuah kereta tidak mencukupi untuk membawa semua tetamu, Tuan Haji Ahmad B telah berbesar hati untuk membawa sebahagian tetamu ke rumah Cikgu Mohd Nor. Setibanya di rumah Cikgu, kami dihidangkan dengan pelbagai jenis koleksi peribadi Cikgu yang kesemuanya bagi saya, berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Kadang-kadang terdengar gelak hilai hasil dari coloteh Cikgu dan juga sahabat-sahabat. Bersama-sama kami juga ada tetamu-tetamu dari Penang, Perlis dan wakil dari Museum Shah Alam. Hampir jam 3 pagi, saya menghantar tetamu pulang ke hotel. Ternyata, walaupun terasa amat penat, saya tersenyum kepuasan kerana dapat berkhidmat kepada tetamu-tetamu.
Keesokan harinya, lebih kurang jam 10 pagi, saya ke stesen keretapi Wakaf Bharu untuk menjemput Tuan Mohd Ramli Raman atau lebih dikenali sebagai Prof Meli yang baru tiba dari KL. Saya kemudian membawa beliau menikmati sarapan pagi nasi gulai serati kerana saya memang tahu kegilaan beliau terhadap serati yang muka hodoh itu. Memang benar, beliau melantak habis-habisan, kalau dikira, mungkin setengah ekor serati habis dimakannya :) Kemudian, saya menghantar beliau ke Museum Negeri Kelantan, oleh kerana saya membawa anak-anak bersama, tidak dapatlah saya bersama-sama beliau di Museum.
Jam 12 tghari, saya sekali lagi bergegas ke Museum untuk membuat bayaran Kembara Keris ke Tanah Bersejarah Patani walaupun saya dengan dukacita dan kecewa, tidak dapat bersama dengan rombongan di atas sebab-sebab peribadi. Di kala sahabat-sahabat berseronok mengembara, saya menghabiskan masa di Kota Bharu dengan bertemu dengan rakan-rakan dan juga bertandang ke rumah Abang Angkat untuk mencungkil serba sedikit ilmu perkerisan. Dan seperti biasa, akan ada bilah-bilah keris yang saya ambil untuk dijadikan koleksi yang akan saya pertontonkan dilain posting.
Pagi ini, saya masih di Kota Bharu dan akan berangkat pulang ke Kota Warisan pada penerbangan jam 3 petang bersama keluarga tercinta :)
No comments:
Post a Comment