Malam tadi sempat berborak dengan jiran yang tinggal selang 4 buah rumah dari rumah ambo. Seperti biasa bila ada orang datang, selain air dan biskut, dihidangkan jugak koleksi-koleksi senjata antik ambo yang tak seberapa tu. Rupa-rupanya jiran saya tu juga meminati senjata-senjata dan pernah beberapa kali memegang keris dan kebiasaanya adalah keris-keris baru.
Melihat gelagatnya yang khusyuk membelek keris sebilah demi sebilah, keluar masuk sarung berkali-kali, lalu ambo bertanya, kenapa asyik keluar masuk sarung aje keris-keris tu? Lalu jawab jiran saya, perasaannya berlainan sekali bila memegang keris antik berbanding dengan keris baru. Seakan tidak puas menatapnya, seakan datang satu semangat yang membuatkan mata tidak berkelip memandang keris. Ada aura yang meresap :)
Lantas jawab ambo kepadanya, itulah keris-keris melayu. Ditempa dengan penuh tatatertib dan adat dengan disulami zikir-zikir dan doa-doa. Keris yang satu masa dulu diabdikan untuk mempertahankan agama dan bangsa. Itulah semangatnya dan itulah auranya.
Selagi kita menjauhkan diri dari pusaka bangsa ini, maka kita tak akan mengerti betapa bertautnya Melayu dan Keris. Serulah anak-anak muda, anak-anak kita untuk mengenal keris, sejarahnya dan yang tersirat disebalik keris. Di sebilah keris, adanya semangat juang nenek moyang kita, dan disebilah keris, pernah Melayu diagungkan di zaman kegemilangannya. Kembalikan semangat itu, hidupkan warisan pusaka bangsa dan realisasikan sekali lagi, saat keagungan bangsa kita.
No comments:
Post a Comment