Acara yang bertarikh 16hb dan 17hb Julai dibayangkan akan dapat menarik kehadiran ramai orang khususnya rakyat Kelantan kerana diadakan bersempena dengan Pesta Cheng Ho anjuran Kerajaan Negeri dan ditempatkan bersama-sama dengan tapak pesta. Rakan saya yang datang dari Indonesia untuk berniaga di pameran amat berkobar-kobar semangatnya dan jelas terbayang kemeriahan hasil jualan dan juga kehadiran orang ramai.
Setiba di Kota Bharu, ekspresi permulaan sudah menunjukkan sedikit kecewa kerana tiada satu pun 'banner' yang dijumpai tentang pameran keris apatah lagi penunjuk jalan. Maka terpaksa berpusing-pusing untuk mencari tempatnya dan apabila ditanyakan kepada beberapa orang Kota Bharu, ternyata mereka tidak tahu menahu. Setibanya di tempat pameran, tiada juga sebarang banner untuk menarik perhatian orang yang lalu lalang ke Pesta Cheng Ho. Kehadiran hanya dimeriahkan oleh pencinta-pencinta keris yang sememangnya sudah familiar. Bak kata orang, 'muka-muka yang sama' yang datang untuk menyertai pertandingan dan berjumpa sahabat-sahabat.
Gerai-gerai jualan sudah tentulah agak lesu pada hari pertama pameran. Rata-rata peniaga yang hadir sepertinya tidak berbaloi dengan tenaga dan wang ringgit yang dikeluarkan disebabkan amat sedikit barang-barang yang dapat dijual. Sambutan tidak seperti yang diharapkan. Amat sedikit pengunjung-pengunjung luar yang hadir. Hari kedua, no komen. Kata sahabat saya, hanya jin dan khadam-khadam keris sahaja yang ada di dewan :)
Dilihat dari perspektif pelestarian keris, ternyata objektifnya tidak tercapai. Seharusnya setiap aktiviti dari mana-mana persatuan keris hendaklah difokuskan untuk menarik lebih ramai minat di kalangan orang-orang muda, belia dan juga penuntut sekolah atau universiti. Perkara ini boleh dilakukan dengan mengadakan sedikit promosi di radio misalnya, banner, atau mungkin melibatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri atau dengan sebarang badan-badan yang berkaitan.
Saya menulis bukan untuk memperlekeh jauh sekali untuk 'condemn' acara tersebut tetapi hanya sebagai satu lontaran pandangan dari peminat muda agar pisang tidak berbuah dua kali. Jadikanlah satu-satu acara itu sesuatu yang akan sentiasa dikenang kerana manisnya :)
Mohon maaf jikalau terkasar bahasa.
bro zul...comel stand keris tu...yg tu dok leh nego ko?..
ReplyDeleteado 1 tu jah bro, nanti ambo cari lagi, bui ko saing2..
ReplyDelete